Adakah dikira bersih dari dosa apabila kedua-dua pasangan berzina melangsungkan perkahwinan mereka. Adakah perhubungan dulu diampunkan jika mereka dikenakan hukuman? Bagaimanakah kedudukan anak yang dilahirkan hasil hubungan terdahulu. Minta penjelasan.
Pasangan terlajak perahu,
Kuala Lumpur.
--------------
Tak dikira bersih daripada dosa jika pasangan yang berzina walaupun mereka berkahwin sekalipun kerana pembersihan dosa hanyalah akan berlaku sekiranya berlaku perkara berikut iaitu jika mereka dikenakan hukum hudud mengikut al-Quran serta jika kedua-dunya bertaubat dan meminta ampun di sisi Allah SWT.
Perkahwinan mereka dianggap sah selepas kedua-duanya bertaubat dengan taubat nasuha dan menyesali terhadap apa yang mereka lakukan dan banyak melakukan amal kebajikan selepasnya sebagai menutupi segala dosa yang sudah dilakukan.
Firman Allah SWT: “Penzina lelaki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik, dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina lelaki atau dengan lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan bagi orang yang beriman.” (Surah An-Nur ayat 3).
Jika ditakdirkan pasangan itu mengahwini orang lain, maka perkahwinan itu adalah sah kerana masing-masing sudah bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Adapun anak yang dilahirkan hasil daripada zina adalah milik ibu saja kerana Rasul SAW menjelaskan dalam sabdanya bermaksud:
“Anak yang dilahirkan hasil zina adalah milik si ibu dan lelaki penzina hanya memiliki bilik tidur saja”. (Al-Hadis). Ini bermakna anak tadi tidak dibinkan kepada bapanya walaupun kedua-duanya sudah bertaubat kerana apabila pasangan berzina, maka anak itu dikira makhluk daripada air yang pertama ciptaan asal bagi manusia.